Kenapa Nak Derma Darah?

Sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya!! Untuk menderma darah seseorang didorong oleh banyak faktor termasuk kesedaran diri sendiri untuk berbakti, ingin membantu pesakit yang mungkin terdiri daripada saudara mara dan kawan, ataupun akibat pengaruh rakan-rakan dan saudara mara.

Sepertimana kita sedia maklum, darah merupakan satu komponen penting dalam perawatan kesihatan. Keperluan dan permintaan terhadap darah semakin meningkat hasil kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan bilangan hospital kerajaan dan swasta. Rawatan kes-kes seperti pembedahan jantung, pemindahan organ, rawatan pesakit-pesakit talasemia, haemofilia dan anemia memerlukan pemindahan darah.

Menderma darah bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa orang lain tetapi pada masa yang sama penderma turut menikmati faedahnya. Menderma darah boleh merangsang badan menghasilkan lebih banyak sel darah baru; secara tidak langsung akan meningkatkan taraf kesihatan penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan membawa oksigen yang jauh lebih baik berbanding sel lama.

Pada masa sama kecekapan badan menggunakan zat besi dalam badan akan meningkat kerana ia diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah yang baru. Proses ini membantu mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelakkan pengumpulan zat besi berlebihan di jantung yang boleh menyebabkan sakit jantung.

Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit kardiovaskular (serangan jantung dan strok).

Secara purata tahap zat besi dalam badan seseorang lelaki ialah kira-kira 1,000 miligram tetapi pada wanita (sebelum menopaus atau putus haid) hanyalah 300 miligram saja. Pengeluaran zat besi pada wanita berlaku ketika haid dan inilah sebabnya wanita muda terlindung daripada sakit jantung. Risiko sakit sama dengan lelaki apabila wanita menopaus kerana zat besi mula terkumpul banyak dalam badan mereka.

Selain itu secara psikologi, penderma darah sebenarnya berasa lebih tenang kerana mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ujian darah akan dilakukan ke atas semua penderma setiap kali mereka menderma darah; walaupun mereka adalah penderma tetap. Ini adalah langkah untuk memastikan semua darah diderma adalah selamat dan tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan penerima.

Langkah ini juga membolehkan penderma mengetahui tahap kesihatan mereka kerana jika didapati penderma menghidap penyakit tertentu, perkara berkenaan akan dimaklumkan segera supaya mereka boleh mendapatkan rawatan sewajarnya.

Orang dewasa mempunyai empat hingga lima liter darah. Setiap kali menderma jumlah darah diambil hanya 300 hingga 450 mililiter atau hanya lapan peratus darah dikeluarkan dari badan penderma. Menderma darah boleh menyihatkan badan kerana badan menghasilkan sel darah baru bagi mengganti darah yang diderma. Secara semula jadi, badan menggantikan semula darah ini dalam masa 72 jam.

Sel darah merah mempunyai jangka hayat antara 115 hingga 120 hari dan dalam tempoh ini ia boleh digunakan untuk menyelamatkan banyak nyawa. Badan sentiasa menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang mati (musnah) akibat tua (selepas 120 hari). Ini sebabnya penderma hanya dibenarkan menderma darah sekali dalam masa tiga bulan.

Tidak perlu bimbang kemungkinan masalah kekurangan darah kerana ia tidak akan berlaku. Setiap hari badan kita akan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel yang mati akibat ´tua´. Malah penderma diberikan pil zat besi dan asid filik untuk merangsang badan menghasilkan sel darah baru sebaik selesai menderma darah.

Isu keselamatan seperti kemungkinan mendapat penyakit berjangkit juga tidak timbul kerana proses pengambilan darah adalah selamat dan dilakukan dengan berhati-hati. Banyak langkah keselamatan diambil untuk kebaikan anda dan bakal penerima darah. Semua peralatan seperti jarum baru, bersih dan steril akan digunakan bagi setiap penderma dan jarum yang sudah digunakan akan dibuang. Jadi tiada kemungkinan jarum ini terkena penderma lain.

Sebelum darah diambil, tekanan darah akan diukur bagi memastikan tekanan darah adalah normal, diikuti ujian pengenalan jenis darah. Sampel sama akan digunakan untuk ujian darah seterusnya. Selepas contoh darah diambil untuk pengenalan jenis dan ujian darah, pegawai perubatan akan memberi kaunseling bagi memastikan anda penderma berisiko rendah.

Satu unit darah (antara 300 hingga 450 mililiter) dapat menyelamatkan nyawa mangsa demam denggi, kemalangan (yang kehilangan banyak darah), ibu yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit talassemia, anemia, leukemia dan haemofilia, mangsa kebakaran serta bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.

Apabila anda menderma darah, tidak perlu fikir siapa penerimanya atau bagaimana ia akan digunakan. Setiap hari ada saja orang memerlukan darah untuk menyambung hidup. Darah yang diderma boleh disimpan selama 42 hari dalam peti dingin beku sebelum diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Darah yang diderma dibahagi mengikut komponennya iaitu sel darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, Faktor VIII dan IX - semuanya ada kegunaan tersendiri.

Sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talassemia, leukemia, orang yang kehilangan darah (mangsa kemalangan, kebakaran, pembedahan) dan kekurangan darah (anemia). Manakala produk darah seperti plasma beku segar dan Faktor VIII serta IX untuk pesakit haemofilia.


Ciri penderma darah:

Berumur 18 hingga 65 tahun.Berat badan melebihi 45 kilogram.

Tahap haemoglobin sekurang-kurangnya 12.5 peratus.

Tidak menghidap penyakit kronik.

Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma.

Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor.

Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.


Proses Pendermaan Darah

Penderma perlu mengisi borang/kad pendaftaran pendermaan darah.

Menimbang berat badan

Menjalani ujian darah bagi mengenalpasti kumpulan darah dan kandungan hemoglobin darah.

Menjalani sessi kaunseling dengan Pegawai Perubatan / Jururawat.

Pendaftaran dan penderma diberikan buku penderma darah.

Seterusnya, proses menderma darah yang mengambil masa di antara 7 - 15 minit.

Selepas selesai pendermaan dan jarum dikeluarkan, penderma perlu berehat sekurang-kurangnya 10 minit sebelum bangun.

Penderma akan dihidangkan dengan makanan / minuman ringan


Nasihat Kepada Penderma Selepas Menderma

Selepas menderma, penderma dinasihatkan berehat di katil menderma darah selama sekurang-kurangnya 10 minit. Selepas itu, bolehlah bangun daripada katil sekiranya tiada apa-apa masalah seperti loya, pening, kepucatan atau rasa hendak pitam.

Penderma juga digalakkan mengambil minuman dan makanan yang telah disediakan selepas menderma.

Dinasihatkan meminum banyak air selepas dalam tempoh 12 jam selepas menderma menderma Ini adalah untuk mengembalikan cecair yang hilang semasa pendermaan darah.

Jangan mengambil minuman beralkohol untuk beberapa jam selepas menderma.

Jangan mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti berat seperti payung terjun, menyelam, berenang mendaki gunung serta sukan lasak dalam tempoh 24 jam selepas menderma.


Jenis-Jenis Pendermaan

Pendermaan darah boleh dilakukan melalui dua cara, iaitu:

• pendermaan darah penuh (whole blood donation)

• pendermaan secara aferesis (apheresis donation).


Pendermaan Darah Penuh (Whole Blood Donation)

Ini merupakan pendermaan darah yang biasa dilakukan. Darah yang didermakan ini akan diproses di makmal kepada beberapa komponen seperti Sel Darah Merah (Packed Cell) Plasma, Platelet dan Plasma.

Isipadu darah yang diambil bergantung kepada berat badan penderma. Jumlah maksima darah yang diambil ialah 450 ml bagi berat badan melebihi 50 kg. Sekiranya berat badan di antara 45 hingga 50 kg, kuantiti darah yang diambil ialah sebanyak 350 ml. Keseluruhan proses menderma darah mengambil masa lebih kurang 30 minit. Penderma darah penuh ini boleh menderma setiap 3 bulan sekali.


Pendermaan Aferesis (Apheresis Donation)

Pendermaan aferesis ialah pendermaan plasma dan platelet, atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis. Masa yang diambil untuk menderma adalah di antara 30 minit hingga 45 minit bagi Plasma dan 45 minit hingga 75 minit untuk menderma Platelet. Oleh kerana melalui pendermaan aferesis sel darah merah penderma tidak diambil, penderma boleh menderma dengan lebih kerap. Tempoh antara pendermaan ialah setiap 2 minggu sekali.


Kriteria Penderma Darah Dan Aferesis

Sebelum layak mendaftar diri sebagai seorang penderma,darah, seseorang bakal penderma perlulah memenuhi beberapa kriteria asas berikut:


Penderma Darah Penuh ( Whole Blood ):

Berumur di antara 18 hingga 65 tahun (jika berumur 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis ibubapa/penjaga)

Berat badan melebihi 45 kg.

Sihat fizikal dan mental serta tiada masalah kesihatan yang kronik.

Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dan tidak mengambil minuman beralkohol dalam jangka waktu terdekat sebelum hari pendermaan.

Tidak berpuasa dan telah mendapat tidur yang cukup (lebih 5 jam) sebelum menderma darah.

Menetap di Malaysia sekurang-kurangnya selama 1 tahun (bagi bukan warganegara Malaysia)


Bagi penderma aferesis, selain kriteria di atas, terdapat beberapa kriteria tambahan iaitu:

Berumur tidak melebihi 55 tahun

Berat badan 55 kg dan ke atas.

Telah menderma darah penuh sekurang-kurang 2 kali dan pendermaan terakhir tidak lebih daripada 6 bulan.

Mempunyai salur darah yang sesuai ( besar dan jelas)


Kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh Pegawai Perubatan atau Jururawat yang bertugas. Seseorang bakal penderma hendaklah berada pada tahap kesihatan yang baik bagi memastikan proses pendermaan darah tidak akan memudaratkan penderma dan darah yang didermakan juga tidak akan memudaratkan pesakit yang bakal menerima darah tersebut. Pihak tabung darah menjalankan prosedur yang ketat dalam pemilihan penderma bagi menjamin kualiti darah. Selain tahap kesihatan yang baik, penderma daripada kalangan mereka yang mengamalkan cara hidup berisiko tinggi adalah DILARANG sama sekali untuk menderma darah. Ini termasuklah penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan, mereka yang terlibat dalam kegiatan pelacuran atau melanggani pelacur, dan mereka yang mengamalkan perhubungan seks sejenis atau bertukar-tukar pasangan seks.

Pendermaan darah perlu dibuat dengan rasa tanggungjawab untuk membantu para pesakit. Oleh itu, semua bakal penderma hendaklah jujur semasa menjalani sesi kaunseling sebelum menderma. Keengganan berbuat demikian hanya akan menambahkan risiko kepada pesakit yang berkemungkinan menerima darah yang tercemar.



Sumber : MyHealth



 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened