Rantau Panjang Lumpuh


Daerah Rantau Panjang kini  ditenggelami limpahan air Sungai Golok menyebabkan kawasan bebas cukai itu lumpuh.  Pekan Sungai Golok di Narathiwat yang terletak bersebelahannya di Thailand juga turut terjejas.


Tinjauan mendapati, penduduk di Rantau Panjang bukan sekadar terputus hubungan dengan penduduk di luar daerah itu bahkan aktiviti perniagaan yang dijalin setiap hari membabitkan dua negara turut terhenti.


Biarpun menjangkakan kehadiran musim banjir, rata-rata penduduk sempadan yang ditemui bagaimanapun meluahkan kebimbangan terhadap limpahan lebihan air di kawasan tadahan air terdekat iaitu di Sukirin, Narathiwat, Thailand yang akan menyebabkan air meningkat lebih mendadak.


Penduduk kini semakin diburu kebimbangan sekiranya keadaan hujan tidak reda yang akan menyebabkan peningkatan di kawasan tadahan air itu.  Peningkatan paras air dikhuatiri akan menyebabkan aktiviti perniagaan terjejas dan kemungkinan para peniaga akan gulung tikar.


Sementara itu Setiausaha kepada Datuk Bandar Sungai Golok, Fauzi Abdul Majid ketika ditemui berkata pihaknya juga bimbang dengan hujan yang dijangka turun berterusan dan turut mengeluarkan arahan berjaga-jaga kepada rakyat di sempadan Thailand.


Katanya sebagaimana penduduk di negara ini, lebih 300 keluarga di kawasan sempadan Thailand telah dipindahkan ke sebuah tempat pemindahan di Sekolah Rendah Toi Si, Sungai Golok.  Kebanyakan mangsa yang dipindahkan merupakan penduduk di beberapa buah kampung di tepi Sungai Golok.


Ada juga penduduk di kawasan Sukiran bertindak meninggalkan rumah dan mendirikan khemah di atas bukit berhampiran kerana bimbang empangan pecah.


Sehingga petang ini, keadaan hujan di sempadan Rantau Panjang mulai reda bagaimanapun penduduk bimbang hujan yang bermula lewat malam akan berterusan malam ini.

Sumber : Bernama
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened