Mayat Remaja Perempuan Ditemui Dalam Beg Pakaian



KUALA LUMPUR, 28 Okt – Mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh sebelum disumbat ke dalam sebuah beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana, Hulu Klang di sini Khamis.

Mayat tanpa identiti berkenaan dipercayai berusia belasan tahun dan berpakaian lengkap itu ditemui oleh seorang pekerja bengkel berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

Pekerja tersebut yang menunggang motosikal melalui lorong bersemak itu terjumpa sebuah beg pakaian besar sebelum bertindak menendang-nendang beg tersebut. Curiga dengan berat beg, dia kemudiannya membuka beg berkenaan sebelum terlihat mayat mangsa.

"Mangsa ditemui dalam keadaan berlipat dan pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia belasan tahun berdasarkan saiz badan dan tidak mengalami kecederaan luaran," kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa yang bertubuh sederhana, berpakaian gaun biru paras lutut, berkulit sawo matang dan berambut lurus mencecah bahu, tidak diikat dan dipercayai baru mati berdasarkan keadaan mayat yang masih 'segar' dan tidak berbau.

Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut yang berdekatan dengan Rumah Anak Yatim Amal Belaian Kasih (RABEKA) Taman Ukay Perdana.

Beberapa helai pakaian termasuk tuala mandi turut ditemui dalam beg pakaian berkenaan yang disyaki milik mangsa. Bagaimanapun punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga iaitu remaja perempuan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk proses pengecaman dan pengesahan.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened