Enam Maut, 39 Cedera







Keseronokan 43 golongan muda berumur antara 14 hingga 25 tahun dari beberapa kampung dari Daerah Baling bertukar menjadi mimpi ngeri apabila bas pelancongan yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di KM38 Genting Sempah.  Enam orang dilaporkan maut manakala 39 lagi cedera.  Turut berada di dalam bas berkenaan ialah dua orang pemandu bas berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira 7.50 malam ketika kenderaan itu menuruni Genting Highlands.

 
 Bas tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik di laluan bertentangan.  Berdasarkan siasatan awal polis, masalah brek dipercayai menjadi punca kemalangan itu.

Mangsa yang terbunuh berusia antara 13 tahun hingga 28 tahun, enam daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu guru agama dan juga ketua rombongan tersebut Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, mati dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.51 malam daripada bomba Bentong yang memaklumkan mengenai insiden itu.

Tujuh jentera bomba termasuk dari Bentong, Kuala Lumpur, Selayang dan Taman Melawati berada di tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa antaranya yang maut kerana tersepit di bawah bas.

Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.

Mereka yang dilaporkan kritikal dan dibawa ke Hospital Selayang ialah Mohamad Fais Nasharuddin, 18 dan Ahmad Iswas Abd Halim, 15.

Yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang ialah Mohd Shamsuri, 15; Mohd Ajril Azizi Azhari, 15; Mohd Akram, 19, dan Mohammad Hafifi Yahya, 19.

Mohd Safuan Md Mokhtar, 20; Hafizudin Onan, 16; Muhamad Syakur Sulaiman, 19; Mohamad Nazren, 16 dan Faiz Syazwan Azlan, 18, antara mangsa yang mendapat kecederaan ringan dan mendapat rawatan pesakit luar.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek turut melawat mangsa di Hospital Selayang.  Beliau meminta agar laporan polis dapat disiapkan segera untuk memastikan punca kemalangan sebenar sama ada ia masalah mekanikal atau kecuaian pemandu.

Sambil mengucapkan takziah kepada mangsa yang terkorban, Ahmad Shabery berkata pegawai kementeriannya akan membantu keluarga mangsa menguruskan jenazah.

Mohd Zairul Hafizat, 15, yang mengalami cedera ringan ketika ditemui di HKL berkata kemalangan berlaku ketika hujan renyai-renyai.  Dia yang baru tersedar dari tidur ketika kejadian mendakwa bas itu terbabas akibat masalah brek.

Rombongan itu bertolak dari Kedah pada pukul 11 malam hari Khamis dan tiba di Genting Highlands pada pukul 8 pagi hari Jumaat, katanya.  Rombongan itu bertolak kira-kira pukul 7 malam hari Jumaat dari Genting Highlands untuk ke Kampung Melayu Subang bagi menyertai program homestay.

Mereka sepatutnya bertolak pulang pada pukul 5 petang pada hari Sabtu.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Amirul Shukri, 13, yang juga cedera ringan berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan tersedar ketika bas terbalik. Dia yang terkejut berjaya keluar melalui tingkap bas yang pecah.

Di Hospital Bentong, Pahang, seramai 15 mangsa yang kesemuanya mengalami cedera ringan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Berikut ialah senarai enam penumpang bas ekspres yang membawa ahli Belia 4B dari Kampung Siong, Baling, Kedah yang maut dalam kemalangan di Km 38 Genting Sempah dekat sini pada 7.05 malam.

Mohamad Khairy Mohamad Mazuki, 14;

Mohd Amirul Muhamat Isa, 13;

Mohamad Firdaus Rosedi, 16;

Mohammad Yussof A. Akhit, 16;

Mohd Ridzuan Husin, 17;

Muhd Fahmi Abdul Mustaffa, 17.
 

2 ulasan:

Andy Yeap berkata...

poor tragedy, i hope their family members will be fine..

really poor kid, such an young age..

T_T

Ken Wooi berkata...

malang tidak berbau :(

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened