Tiada Maaf Untuk Guru Yang Menyemai Perasaan Benci

Tindakan guru yang meracuni pemikiran pelajar agar membenci dan prejudis terhadap kaum lain tidak boleh dimaafkan kerana ia perbuatan keji.  Sekiranya tidak dibendung dari awal, perbuatan berkenaan boleh menghancurkan perpaduan dan kerjasama masyarakat majmuk di negara ini akibat sikap perkauman yang tersemai di kalangan generasi muda.

Hukuman berat perlu dikenakan ke atas guru-guru ini kerana cuba mengajar anak-anak kita membenci kaum lain. Kita tidak mahu pelajar kita berprasangka buruk dan prejudis terhadap kaum lain. Kita tidak mahu mereka membenci kaum lain. Guru bertanggungjawab mengelak gejala ini daripada berlaku.

Guru berperanan utama membentuk pelajar berperibadi cemerlang yang sayangkan diri, keluarga serta masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. Dengan penerapan nilai-nilai murni dalam diri pelajar pada usia muda diyakini akan membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Amat penting untuk guru memastikan pemikiran pelajar bersih. Jangan sesekali diracuni pemikiran mereka yang bersih itu. Guru perlu menyampaikan mesej-mesej positif kepada pelajar seperti kepentingan perpaduan kaum kepada pembangunan masyarakat dan negara. Setiap pelajar berhak menerima pendidikan yang betul di sekolah agar mereka mendapat peluang untuk memajukan diri dan keluarga.

Golongan ibu bapa dan penjaga juga, tidak boleh mengajar anak-anak mereka membenci kaum lain kerana ia memberi kesan negatif kepada pembangunan sosial dan kualiti hidup masyarakat.

Jika anda Melayu, jangan ajar anak benci kaum Cina atau India. Jika anda Cina atau India, jangan ajar anak benci kaum Melayu. Begitu juga dengan kaum-kaum lain.

Jika ibu bapa menonjolkan sikap yang tidak baik kepada anak-anak, pasti anak-anak akan terikut-ikut. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi contoh yang  terbaik kepada anak-anak. Anak-anak perlu diajar semangat saling bekerjasama dan hormat-menghormati agar mereka boleh hidup dalam suasana aman damai bersama kaum lain di kawasan kediaman mereka.

Setiap kaum harus diberi peluang untuk menonjolkan sumbangan mereka kerana setiap kaum mempunyai kekuatan yang boleh digunakan untuk pembangunan di negara ini.

Negara tidak dapat dibangunkan oleh satu kaum sahaja. Ini adalah suatu yang mustahil. Setiap kaum ada memiliki kualiti yang spesifik. Semua kaum diberi peluang untuk memberi pembangunan kepada negara.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened