Polis Palsu Ditahan


Polis menahan seorang pengawal keselamatan yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis dari ibu pejabat Bukit Aman, selepas lelaki itu merampas sejumlah wang tunai milik beberapa pekerja pembinaan warga Indonesia di tapak perumahan Seksyen U1, Bukit Jelutong, Shah Alam, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pengadu yang merupakan pekerja pembinaan warga Indonesia di tapak perumahan itu didatangi oleh seorang lelaki yang memakai t-shirt lambang polis dengan menunggang motosikal.

Suspek yang berumur 37 tahun memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan meminta rakan-rakan pengadu yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk menyerahkan RM50 kepadanya.

Disebabkan takut, dua rakan pengadu menyerahkan RM50 tiap seorang kepada suspek dan suspek kemudian terus beredar.

Namun demikian, kira-kira jam 6 petang kemudiannya, suspek kembali ke rumah kongsi yang di tapak perumahan yang sama dan sekali lagi meminta wang daripada pekerja-pekerja tersebut.

Disebabkan takut dengan kehadiran suspek, 10 rakan pengadu terus melarikan diri kerana mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Berlaku kejar-mengejar antara suspek dan rakan pengadu.  Semasa suspek mengejar rakan-rakan pengadu, pengadu sempat hubungi pihak berkuasa dan apabila suspek datang semula, dia ditangkap oleh anggota polis.

Polis merampas wang RM200, sehelai t-shirt berlambang polis, sepucuk pistol mainan serta motosikal milik suspek, dan siasatan mendapati suspek bukan anggota polis dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Suspek kini direman sehingga 10 November ini dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan, kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Sementara itu dalam satu kes berasingan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis bertindak melarikan wang tunai dan barangan milik seorang pembantu rumah warga Indonesia di Seksyen 7 di sini, kelmarin, menyebabkan wanita itu mengalami kerugian kira-kira RM1,500.

Pihak polis meminta mana-mana pihak terutama warganegara asing yang pernah mengalami kejadian yang sama supaya tampil membuat laporan polis atau menghubungi hotline polis 03-55102220 bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang ditahan individu mendakwa sebagai anggota polis dinasihatkan supaya meminta individu itu menunjukkan kad kuasa polis. Kad kuasa polis berwarna kuning untuk anggota berpangkat rendah sementara kad kuasa polis berwarna biru untuk pangkat pegawai ke atas.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened