Empat Daripada Satu Keluarga Terbunuh Dalam Kemalangan Ketika Pulang Berhari Raya


IPOH, 17 Nov - Empat orang daripada satu keluarga terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori dan sebuah teksi di Km 377.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River, 130km dari sini awal Rabu.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian pada jam 2 pagi ialah pemandu kereta Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya Siti Suzana Mohd Nor, 33, dan dua anak kembar lelaki mereka, Fitri dan Fikri berusia enam tahun.  Shaiful Fadzilah, Siti Suzana dan Fitri yang cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Fikri yang juga cedera parah di kepala, meninggal dunia di Hospital Slim River.

Dua lagi anak pasangan itu, Fatihah, 4, yang cedera parah, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala seorang lagi anak lelaki, Firdaus, 8, cedera ringan dan dirawat di Hospital Slim River.

Keluarga tersebut berasal dari Labu, Seremban dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di Lenggong, katanya.

Kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Shaiful Fadzilah dikatakan dirempuh dari belakang oleh sebuah treler, mengakibatkan kereta terbabit merempuh lori di hadapannya.

Sebuah teksi turut dirempuh oleh lori berkenaan, bagaimanapun pemandunya hanya cedera ringan. Pemandu treler yang mengalami kecederaan dirawat di hospital Slim River dan polis sedang mengambil sampel darah untuk pemeriksaan.

Kemalangan berlaku ketika hujan dan treler tersebut yang dipercayai dipandu laju gagal berhenti ketika kenderan bergerak perlahan ke susur keluar Slim River.



Sumber : Bernama
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened