Bayar saman JPJ di Pejabat Pos – Lembah Klang sahaja


Mulai hari ini, pemilik saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang boleh membayar saman mereka di lima buah pejabat pos di Selangor dan ibu negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata sebagai percubaan, lima buah kaunter yang dibuka untuk pembayar saman adalah Pejabat Pos Shah Alam, Pejabat Pos Daya Bumi, Pejabat Pos Wangsa Maju, Pejabat Pos Jalan Sultan Salahuddin dan dan Pejabat Pos Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Kemudahan berkenaan akan dikembangkan lagi di 688 pejabat pos di seluruh negara selewat-lewatnya pada akhir bulan depan.

Pembayaran saman JPJ di pejabat pos diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar untuk membayar saman.  Kaedah terbaru ini dilakukan kerana ramai yang memberi alasan sukar membayar saman melalui kaunter JPJ yang kesemuanya terletak di tengah bandar selain saluran e-Khidmat.

Sehubungan itu katanya JPJ telah mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia untuk merealisasikan langkah ketiga itu selepas cukai jalan dan lesen memandu diperbaharui di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata orang ramai juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua kaunter JPJ di seluruh negara dan saman JPJ itu juga boleh dibayar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) menjelang akhir tahun ini.

Sumber : Bernama
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened