Artis Artis Artis… Apa Kesudahannya…

Empat artis wanita dan seorang artis lelaki yang berusia di antara 20-an hingga 30-an dikatakan sedang dalam perhatian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana terlibat dengan aktiviti tidak bermoral antaranya maksiat dan judi. 

Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof berkata pihaknya menerima banyak aduan orang awam perihal salah laku artis-artis berkenaan sejak beberapa bulan lalu.  Beliau berkata lagi, pihaknya hanya menunggu masa yang sesuai untuk memerangkap dan mencekup mereka ini.  Antara kegiatan yang tidak menyenangkan orang ramai terutamanya jiran-jiran ialah apabila artis-artis wanita ini membawa balik pasangan masing-masing ke rumah mereka sama ada untuk bermalam ataupun dalam bahasa yang lebih mudah lagi, bersekedudukan.  Lebih memalukan apabila pasangan yang dibawa itu bukan muhrim mahupun saudara mara mereka.  Menjelikkan lagi ialah ada antaranya suami orang.  Artis lelaki itu pula dikatakan sering berjudi di rumahnya.  Salah laku artis lelaki berkenaan dikatakan bukan sahaja dilaporkan oleh jiran-jiran yang tidak mahu bersubahat malahan juga daripada keluarganya sendiri yang sudah bosan dengan perangai buruknya itu.

Salah laku artis-artis terbabit diselamatkan oleh kawasan kediaman mereka yang berstatus mewah serta kawalan keselamatan yang ketat.  Ini menyukarkan pihak Jais untuk membuat serbuan.  Artis-artis terbabit seakan-akan berpakat membuat dosa dengan pengawal keselamatan yang bertugas di kediaman mereka.  Mana tidaknya, artis-artis yang lupa diri ini sudah dapat menghidu kehadiran pihak berkuasa apabila ada saja serbuan hendak dilakukan.  Namun demikian, Jais tidak sekali-kali akan berputus asa untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai mengelakkan perkara mungkar daripada terus berlaku.  Bak kata pepatah, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua’.

Kepada artis-artis berkenaan diharapkan malulah pada Allah.  Tunjukkan akhlak yang baik dan itulah yang sepatutnya menjadi teladan kepada peminat.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened