Patuhi Peraturan Jalan Raya

Hari ini bermulalah cuti penggal kedua persekolah di Malaysia dan baru sebentar tadi aku menonton Buletin Utama di TV3, “Lima Kemalangan Dalam Tempoh Dua Jam”. Aku cukup trauma dengan kemalangan apatah lagi kalau membabitkan kehilangan jiwa. Untuk mengelakkan kejadian serupa berlaku, aku titipkan beberapa petua yang sepatutnya kita ikut sebelum memulakan sebarang perjalanan terutamanya perjalanan jauh. 


Rancanglah perjalanan anda untuk mengelakkan berlaku keadaan kelam-kabut pada saat-saat akhir.  Pastikan anda mendapat rehat secukupnya, terutama sebelum memulakan perjalanan jauh.  Jangan memandu dalam keadaan letih, mengantuk atau apabila mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk.  Periksa tayar, brek dan lampu isyarat sebelum memulakan perjalanan.
 
 
Sentiasa patuhi had laju yang ditetapkan kerana ia merupakan kelajuan maksimum yang selamat bagi jalan yang anda gunakan.  Perlahankan kenderaan apabila hujan kerana keadaan jalan yang basah dan licin menyebabkan kenderaan mudah terbabas jika dipandu laju.  Untuk meningkatkan kadar kebolehlihatan, nyalakan lampu kencil, bukan lampu kecemasan.
 
 
Jangan menukar lorong dengan sesuka hati kerana perbuatan ini boleh mengundang bahaya kepada anda dan pengguna jalan raya lain.. berilah isyarat dan patuhilah semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong.  Periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang sebelum menukar lorong.
 
 
Patuhilah peraturan keselamatan apabila berada di persimpangan.  Perlahankan kenderaan apabila lampu kuning bernyala dan berhenti apabila ia bertukar merah.
 
 
Berilah keutamaan kepada pejalan kaki di kawasan lintasan belang.
 
 
Jangan mengekori kenderaaan terlalu rapat.  Perbuatan ini amat berbahaya.
 
 
Jangan memotong di zon larangan dan jika berasa teragak-agak.
 
 
Jangan potong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.  Perbuatan ini boleh menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati pengguna jalan raya lain.
 
 
Elakkan mencelah di antara kenderaaan apabila memandu.  Perbuatan ini menyebabkan anda sukar dilihat oleh pengguna jalan raya lain kerana anda bergerak keluar dan masuk dari kawasan yang tidak nampak (blind spot).
 
 
Sentiasalah memakai tali pinggang keledar dan pastikan semua penumpang kenderaan anda juga berbuat demikian.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened