Salam Maal Hijrah

Tahun Baru Islam datang lagi, membawa bersama harapan agar umat Islam seluruh dunia terus bersatu membina daulah Islamiah.

Selepas 1432 tahun peristiwa hijrah Rasulullah SAW, umat Islam seharusnya dapat berfikir mengapakah kita masih belum mampu menjadikah roh dan semangat Al Quran sebagai cara hidup sepenuhnya sebagaimana yang dilaksanakan Rasulullah SAW?

Saban tahun, sambutan Maal Hijrah disambut dengan memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Yahtrib (nama asal bagi Madinah). Hijrah berlaku 13 tahun selepas Rasulullah SAW melaksanakan usaha dakwah menegakkan sebuah masyarakat Islam yang berperadaban tinggi menentang kepercayaan masyarakat Jahiliah di Kota Mekah.

Bagaimanapun, usaha dakwah di Mekah tidak dapat dikembangkan lagi ekoran pelbagai tentangan dan sekatan yang hebat daripada masyarakat Quraisy terhadap umat Islam.
Baginda akhirnya menerima wahyu yang mengarahkan masyarakat Islam Mekah berhijrah ke Madinah dan memulakan kehidupan dan usaha dakwah yang baru.

Setiap kali munculnya Maal Hijrah, kisah perjalanan Hijrah Rasulullah diceritakan kembali bermula dengan kisah Musyrikin Mekah berbincang menghalang rancangan perpindahan Rasulullah ke Madinah, rancangan membunuh Baginda hinggalah kejayaan Rasulullah dan rombongan tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal tahun ke-13 kerasulan Baginda (622 Masihi).

Di sebalik peristiwa Hijrah, bukan hanya kisah itu yang perlu dihayati, tetapi sebaliknya ada perkara lebih besar yang perlu difikirkan umat Islam.

Hijrah Rasullulah SAW dari Mekah ke Madinah bukanlah hanya sebuah perpindahan dari satu tempat ke satu tempat semata-mata tetapi adalah sebuah proses penghijrahan yang bertujuan menegakkan sebuah sistem dan nilai masyarakat yang melaksanakan prinsip dan ajaran Al-Quran iaitu kebenaran, keadilan dan kasih sayang.

Perkataan 'Hijrah' sangat besar maknanya. Sayangnya, masyarakat hari ini, menganggap perkataan 'Hijrah' itu sebagai perkataan biasa yang hanya bermaksud satu perpindahan, dan digunakan dalam konteks yang tidak sepatutnya.


TUJUAN HIJRAH
Tujuan utama Hijrah ialah untuk menyusun sebuah masyarakat yang memiliki peradaban yang tinggi berdasarkan iktikad, syahadah serta kefahaman dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah.

Rasulullah ingin mewujudkan sebuah tempat baru dan menyusun masyarakat di Madinah menjadi sebuah masyarakat yang berperadaban dan pintar dengan dipimpin Baginda berdasarkan Al-Quran.

Sebagaimana wahyu Allah di dalam surah Al-Anbiya :107 yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."

Maka, peluang untuk merahmatkan sekalian alam iaitu menyusun sebuah pentadbiran yang berlandaskan Al-Quran terbuka di Madinah. Rasulullah telah merebut peluang itu untuk melaksanakan tanggungjawab Baginda menyusun dan mengendalikan pemerintahan Islam yang seterusnya diterjemah Baginda menerusi Piagam Madinah.

Kebijaksanaan dan kepintaran Rasulullah perlu dicontohi. Bagaimana Baginda berjaya menawan kembali Kota Mekah melalui Perjanjian Hudaibiah tanpa adanya pertumpahan darah. Serta pendekatan Baginda yang berjaya mengikat hati dan jiwa manusia menerusi ajaran Al-Quran iaitu mencari kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kalangan umat manusia sehingga Baginda berjaya membangunkan sebuah negara yang besar.

HIJRAH RASULULLAH DAN MASYARAKAT HARI INI
Peristiwa yang perlu dipelajari oleh umat Islam hari ini ialah bagaimana Rasullullah SAW dapat membina keyakinan akidah dalam kalangan masyarakat Islam pada ketika itu wajar dicontohi selain usaha dakwah yang memiliki strategi yang mantap.

Di samping bagaimana Baginda merancang pentadbirannya bagi mengukuhkan kedudukan Islam dan umat Islam di Madinah. Sebagai contoh menjadikan masjid Nabawi sebagai tempat beribadah dan pertemuan umat Islam.

Masjid pada zaman nabi dijadikan pusat untuk kegiatan manusia tanpa memisahkannya sebagai urusan dunia dan urusan akhirat.

Berbeza dengan masyarakat Malaysia hari ini yang mengehadkan kegiatan di masjid hanyalah untuk aktiviti keagamaan sahaja. Sedangkan masjid sepatutnya merupakan tempat berkumpul dan berbincang segala urusan negara dan masyarakat.

Ibu bapa perlu merebut peluang berkenaan iaitu menekankan ajaran Al-Quran yang berlandaskan kebenaran, keadilan dan kasih sayang. Semangat inilah yang perlu dihayati dalam kehidupan.

Begitu juga di dalam sesebuah organisasi, setiap pemimpin perlu berusaha menerapkan ketiga-tiga elemen itu dalam melakukan transformasi ke arah pelaksanaan ajaran Islam.

Iktibar dari peritiwa Hijrah Rasulullah bukan sekadar perubahan diri ke arah menjadi yang lebih baik, tetapi bagaimana Rasulullah mengatur, merancang dan mentadbir sebuah sistem yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia sehingga ia berjaya diwujudkan.

Sumber : Bernama

Setiap hari adalah satu fasa baru...
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened