Bagaimanakah hati tak terusik tatkala isteri sendiri meragui dan menidakkan perananku dalam keluarga. Bukan sekali, malah berkali-kali aku dianggap "problem" dalam rumahtangga. Segala keputusan dan kejadian yang berlaku adalah salahku. Walaupun kesalahan itu berlaku disebabkan oleh orang lain, tetap aku juga yang disalahkannya.
Aku sendiri tidak faham dengan hidup ini. Semakin aku berusaha, semakin itulah aku terus menerus diuji. Kadang-kadang baru sahaja aku berangan-angan hari ini, esoknya ada sahaja perkara yang mematikan anganan ku itu. Bertubi-tubi pula serangan kata-kata isteriku kepadaku. Aku terkadang terfikir, adakah aku ini bahan ujikaji di muka bumi ini. Astaghafirullah... ampunilah dosaku ya Allah!
Dahulu, aku mempunya semuanya. Sebut sahaja, pasti aku dapat mengadakannya. Minta sahaja, pasti aku akan membelinya. Walaupun bukan seperti memetik jari, ianya akan tetap ada. Bak kata pepatah, "panas tidak sampai ke petang, hujan ribut pula di tengahari". Begitu jugalah dengan hidupku. Segalanya yang ku miliki, bermula secara perlahan-lahan dan kemudian menderum aku jatuh tersungkur. Sedikit demi sedikit segalanya terlepas dari genggaman.
Isteriku pula seakan membenci diriku lantaran dari kepayahan hidup yang dilaluinya bersamaku kini. Pernah sewaktu kami bertekak, dia meluahkan kalau boleh dia hendak meninggalkan aku. Kalau tak ada aku pun dia boleh hidup katanya. Ya Allah hinanya aku sekarang ini. Pagi tadi aku cukup terasa... Bayangkan pakaian yang aku nak guna untuk pergi bekerja, dicampakkan begitu sahaja di atas tangga. Hina sangatkah aku ini sehingga diperlakukan sebangsat itu? Aku rasa, kalau aku mati isteriku lah yang paling gembira sekali. Tidak pernahkah sebelum ini aku membangunkan keluarga ini? Tidak pernah sebelum ini aku yang menyara keluarga ini? Mentang-mentanglah sekarang ini gajinya melebihi gajiku, aku dia pandang macam bangsat.
P/S: Kisah di atas adalah cerita seorang teman memancing di atas jambatan Tropicana, PJ kepadaku pada suatu malam yang suram.
0 ulasan:
Catat Ulasan