Taktik Terbaru Penipuan Kad ATM

Pemegang kad ATM di bandar Sibu, Sarawak dinasihatkan berwaspada dengan kehadiran individu tidak dikenali ketika mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Seorang lelaki pembuat perabot berusia 43 tahun dan hanya dikenali sebagai Kong, antara mangsa penipuan terkini selepas terpedaya dengan modus operandi penipuan terbaru yang berlaku di bandar ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam Kong telah mengunjung sebuah bank di Jalan Tuanku Osman untuk mengeluarkan sejumlah wang tunai.  Seperti kebiasaannya, Kong yang hendak mengeluarkan wang tunai sebanyak RM100  menekan butang mesin ATM untuk memasukkan nombor pin.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Kong hanya menerima resit sahaja manakala wang tunai yang hendak dikeluarkannya tidak muncul dari mesin ATM berkenaan.  Kong yang tidak berpuas hati kemudian mencuba lagi sebanyak tiga kali, namun wang tunai yang hendak dikeluarkan dari mesin berkenaan tetap tidak muncul.

Ketika Kong hendak melakukan cubaan kali keempat, seorang lelaki yang berpura-pura bisu meminta beliau menggunakan mesin ATM lain, tetapi peliknya, kali ini lelaki tersebut berjaya mengeluarkan wang tunai sebanyak RM500.

Kong yang terus beredar meninggalkan bangunan bank berkenaan kemudian tergerak hati untuk memeriksa resit keluaran terakhirnya dan beliau mendapati jumlah wang tunai yang dikeluarkannya ialah sebanyak RM900.  Kong yang tersentak dengan kejadian itu kemudian pergi semula ke bank berkenaan untuk menemui pegawai bertugas.

Pada mulanya Kong telah dinasihatkan untuk membuat laporan polis, sebelum beliau dan pihak polis dibenarkan meneliti rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV).  Semasa sedang meneliti rakaman, Kong sangat terkejut apabila ternampak lelaki bisu yang membantunya sedang menekan butang mesin ATM tempat mula-mula mangsa mengeluarkan wang tunai.

Lelaki terbabit dilihat meninggalkan mesin berkenaan bersama sejumlah wang tunai.

Sementara itu, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung dengan kejadian itu.
 

1 ulasan:

Amirez berkata...

macam2 sekarang ni. kena selalu beringat2

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened