Sukan Asia Hari Ke-enam


17 Nov - Malaysia menamatkan kemarau pingat semalam dengan mengutip dua emas, dua perak dan satu gangsa pada hari keenam temasya Sukan Asia ke-16 di sini hari Rabu.

Secara keseluruhan, Malaysia kini mengutip tiga emas, tiga perak dan empat gangsa.

Dua emas hari ini dihadiahkan oleh pelumba trek negara Mohd Azizulhasni Awang dalam acara Keirin dan pasangan boling lelaki Alex Liew dan Andrian Ang sementara perak dari Josiah Ng (Keirin) manakala Quzandria Nur Mahamad Fathil dan abangnya Mohd Qabil Ambak masing-masing mendapat perak dan gangsa dalam acara dressage individu.

Setakat pukul 11 malam ini, Malaysia menduduki tangga kesembilan dalam carta kutipan pingat keseluruhan.

Tuan rumah China terus mendahului kutipan pingat keseluruhan dengan 96 emas, 39 perak dan 35 gangsa, diikuti Korea Selatan (29, 22, 31) dan Jepun (17, 40, 35).

Di Velodrom Guangzhou, Mohd Azizulhasni menebus kehampaan mendapat tempat keempat alam acara 200m pecut individu dengan kejayaan meraih emas dalam acara Keirin.

Lebih manis bila seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng mendapat pingat perak dalam acara yang sama, kemenangan satu-dua buat pelumba Malaysia.

Di Dewan Boling Tianhe, Adrian Ang dan Alex Liew menyumbangkan emas kedua Malaysia hari ini dalam acara boling beregu lelaki.

Kedua-duanya mengumpul mata keseluruhan 2,711 jatuhan pin, lebih 20 pin mengatasi pemenang bersama pingat perak, beregu Jepun dan Singapura.

Kejayaan Alex dan Adrian juga mencatat rekod sebagai beregu lelaki pertama Malaysia yang memenangi emas dalam acara tersebut sejak acara boling dipertandingkan pada temasya itu pada 1978.

Di Gelanggang Ekuestrian, Quzandria Nur, yang menunggang kuda bernama 'Handsome', berjaya mengumpul 71.558 mata untuk perak manakala Mohd Qabil memperoleh 71.195 mata untuk gangsa.

Acara renang masih lagi kemarau pingat selepas lima hari acara tersebut berlangsung dengan perenang Sabah, Chui Lai Kwan hampir menyamai rekod kebangsaannya 57.50 saat dalam acara 100m gaya bebas wanita.

Pada saringan acara berkenaan, beliau hanya ketinggalan 0.39 saat. Esok, tumpuan terarah kepada dua atlet negara yang bergelar Datuk dan pemain nombor satu dunia dalam acara masing-masing.

Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada acara badminton berpasukan pada minggu lepas, akan turun menentang pemain Hong Kong, Chan Yan Kit pada acara perseorangan.

Manakala Muhd Hafiz Hashim akan menentang pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan.

Beregu utama dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong akan menentang pasangan Jepun, Hirata Noriyasu/Hirokatsu Hashimoto, dalam usaha pasangan Malaysia itu untuk mempertahankan pingat emas dari temasya Doha.

Di Gimnasium Bandar Sukan Asia, Datuk Nicol Ann David akan memulakan pusingan pertama menentang pemain Korea Selatan, Park Eun Ok, dalam misi ratu skuasy itu mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Doha, empat tahun lepas.

Malaysia akan berdepan dengan India dalam acara sepak takraw berpasukan bagi menentukan juara Kumpulan B sebelum mara ke separuh akhir.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened