Tunang nafi terbabit


Mohd Helmi Mohd Noor, 24, tunang kepada Rozaliya Mat Lazim, 20, yang hilang sejak 13 Oktober lalu, menafikan dia terlibat dengan kehilangan tunangnya itu.  Menurut Mohd Helmi, pada hari kejadian, Rozaliya menghantar satu pesanan ringkas pada jam 3.28 petang berbunyi, ‘Awak cepat sikit. Masa nak g ambil duit ada dua orang macam ikut saya. Saya takut’. 

Oleh sebab sedang bekerja, Rozaliya ditinggalkan di kedai selepas membeli-belah disebabkan Mohd Helmi terpaksa pulang ke pejabat kerana ada urusan. Beliau juga menyifatkan dakwaan yang dia menyembunyikan Rozaliya tidak benar sama sekali.

Ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, dilaporkan sebagai berkata, dia mengesyaki ada tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.  Wanita itu mendakwa Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya yang diikat pada tahun lepas atas dasar cinta dan dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 12 November depan.

Keluarga terdekat Mohd Helmi turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya. “Anak saya bukan melarikan diri seperti didakwa sesetengah pihak, tetapi pulang ke kampung di Johor bertemu dengan keluarga,” kata  Mohd Noor Juah.

Ibu Rozaliya juga mendakwa anaknya dipercayai mengikut seorang lelaki bernama Amir yang dipercayai tinggal di Batu Berendam, Melaka.  Mohd Helmi, menurut ayahnya lagi, mencari lelaki itu di sana.  Mohd Helmi dikatakan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bersama keluarganya kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.  Keterangannya direkodkan secara telus dan terperinci berikutan semakin banyak keraguan yang timbul.

Sementara itu, ibu kepada Rozaliya Mat Lazim, 20, yang berhasrat mencari anaknya di Kuantan tidak kesampaian apabila dipatuk ular berdekatan rumahnya di Bandar Cheneh Baru, kelmarin.  Sabariah Mansor, 42, dikejarkan ke Hospital Kemaman jam 10 malam selepas mengadu sakit dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dimasukkan ke wad  dan telah dibenarkan pulang.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened