Tragedi Sungai Kakus


19 orang dikhuatiri mati lemas apabila bot ekspress yang dipercayai dinaiki oleh 30 orang terbalik lalu tenggelam di Sungai Kakus, Bintulu, Sarawak.  Bot ekspress dikatakan berlanggar dengan sebuah tongkang mengangkut balak kira-kira jam 2.30 petang semalam. 

Bot yang dikatakan berlepas pada jam 1.30 petang dari pekan Tatau itu menuju ke Kakus.  Perjalanan dari Tatau ke Kakus mengambil masa kira-kira satu jam.  Adalah dipercayai bot ekspress ini membawa muatan berlebihan.  Mangsa yang terselamat memberitahu bahawa bot ini tersangkut pada tali penunda tongkang berkenaan sebelum terbalik lalu tenggelam.

Tujuh penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai. Sementara itu, empat orang termasuk seorang kanak-kanak lima tahun disahkan mati lemas setelah mayat mereka ditemui oleh pihak penyelamat dan penduduk tempatan. 19 orang lagi penumpang masih belum ditemui dan status mereka masih belum diketahui.

Walaupun tahap kekerapan itu kurang, tragedi ini adalah statistik terbaru kapal karam yang membabitkan kehilangan dan kematian di Sarawak.

19 April 1999, sebuah bot laju yang membawa 12 pelajar Sekolah Menengah Pusa, Betong, berlanggar dengan kapal pengangkut kayu di Sungai Saribas.  Semua pelajar berkenaan mati lemas.

20 April 1999, di sungai yang sama, tujuh orang penduduk yang menumpang sebuah bot pukat tunda mati lemas apabila ianya berlanggar dengan tongkang pasir.

April 2005, tujuh orang terkorban apabila sebuah bot pukat tunda dari Kuching ke Beladin berlanggar dengan tongkang pasir.

27 Disember 1973, merupakan tragedi paling ngeri dan besar dalam sejarah kapal karam di Sarawak.  Kapal pengakut penumpang dan kargo M.V. Pulau Kidjang karam di Perairan Tanjung Jerijeh, muara Sungai Rajang.  Tragedi ini mengorbankan 121 nyawa daripada 159 orang penumpang.

 M.V. Pulau Kidjang merupakan sebuah kapal pengangkutan utama di Sarawak selain M.V. Rajah Mas yang berulang-alik dari Kuching-Sarikei-Sibu ketika itu.  M.V Pulau Kidjang yg dibeli pada harga RM320,000 ini dibeli dari Indonesia.  Kapal ini telah berkhidmat untuk penduduk Sarawak selama 8 tahun sebelum tenggelam di dasar muara Sungai Rejang

Semasa kejadian, M.V. Pulau Kidjang tersebut membawa penumpang yang kebanyakannya dalam perjalanan pulang ke Sibu selepas bercuti sempena perayaan Krismas. Kapal tersebut bertolak dari Kuching pada 26 Disember, jam 6.30 petang, lewat 30 minit daripada yg dijadualkan. Ia karam di perairan Tanjung Jerijeh, 3.5 batu nautika dari barat pekan Sarikei. Hanya 41 mayat yg ditemui manakala selebihnya berkubur di dasar Sungai Rejang.  38 orang terselamat termasuk 18 orang kelasi. Kebanyakkan mangsa mati akibat terperangkap di dalam kapal. Ada yang hilang dibaham ombak ganas musim tengkujuh kerana terjun ke laut tanpa jaket keselamatan. Beberapa orang penumpang yang terdampar di pantai Kampung Gerigat  diselamatkan oleh anak kapal M.V. Hornbill yang dalam perjalanan dari pekan Selalang.

Peristiwa ini meninggalkan kesan kepada penduduk Sarikei apabila kebanyakkan penduduk di sana tidak memakan ikan selama berbulan-bulan disebabkan terbayang mayat-mayat mangsa yang dimakan hidupan laut. Ada kes di mana penduduk menemui cincin, jam tangan, butang baju, serta jari didalam perut ikan yang ditangkap.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened