Sarawak layak Liga Super

Berita Harian Online | Sarawak layak Liga Super

SELEPAS PKNS, giliran Sarawak pula mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan apabila berjaya menumpaskan USM FC 4-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, petang semalam.

Dengan baki dua perlawanan, Bujang Senang yang sudah mengumpulkan 42 mata dan berada di kedudukan kedua carta Liga Perdana, tidak mampu lagi dikejar pasukan di kedudukan ketiga ketika ini - Sime Darby.
Sarawak di bawah kendalian Robert Alberts, terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua bagi menghasilkan jaringan pada minit ke-47 melalui Ashri Chuchu yang berjaya melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Syaiful Sabtu.
Tiga lagi gol tuan rumah disumbang Ashri (minit ke-50), Bobby Gonzales (m-69) dan Benedict Martin (m-85) manakala gol tunggal pelawat oleh Muhd Afzan Zainal Abidin (m-87).

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, jaringan minit ketujuh, Abdul Rahman Abdul Kadir memberi tiga mata penuh buat juara Liga Perdana musim ini, PKNS FC untuk kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot, Pulau Pinang.

Gol tunggal perlawanan itu diperoleh selepas Abdul Rahman menolak mudah bola ke gawang Pulau Pinang selepas menerima hantaran lintang daripada ketua pasukan PKNS FC, Mohd Fadhil Mohd Hashim dari sebelah kiri tiang gol lawan.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Harimau Muda B terus ditimpa kekalahan apabila kali ini, Tentera mengambil kesempatan di atas skuad muda kendalian Ismail Ibrahim itu mengutip tiga mata menerusi kemenangan 2-0.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened