Harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika, demikian menurut AmResearch. Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.
Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. RON97 sudah naik empat kali tahun ini termasuk awal bulan ini untuk dijual RM2.90 seliter sekarang.
Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.
Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.
Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.
Kalau kekal dengan keadaan sekarang kemungkinan besar dari segi unjurannya, kata beliau, subsidi akan bertambah daripada RM10.3 bilion kepada RM17 bilion.
AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.
“Kesemua faktor menunjukkan ke arah kenaikan harga RON95,” kata firma itu sambil menambah, dengan mengambil kira kenaikan berterusan harga global bagi minyak mentah dan kemungkinan naik lagi pada masa depan, kerajaan kini tersepit antara mengamalkan urus tadbir fiskal seimbang dan keperluan menggambarkan ia mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
Justeru, AmResearch berkata kerajaan boleh memberi rebat dan menyusun semula skim saraan sektor awam untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah, yang dihimpit dengan beban pemotongan subsidi.
Firma itu juga menambah, ia menjangkakan bahawa kadar inflasi akan naik mendadak ke arah empat peratus dalam waktu terdekat susulan pusingan pertama impak potongan subsidi ke atas makanan, pengangkutan dan tenaga.
“Secara purata, inflasi tahun ini mungkin melepasi kadar 3.5 peratus yang telah diramalkan sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ia akan masih rendah berbanding 8.5 peratus, paling tinggi dalam 25 tahun, yang dialami pada Julai dan Ogos 2008.
Semalam, Ismail Sabri (gambar) berkata, kerajaan pusat akan mengumumkan perkembangan langkah rasionalisasi subsidi termasuk pelarasan harga petroleum minggu ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.
“Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini... kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion,” katanya.
Dalam satu kenyataan petang semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan tarif elektrik dinaikkan bulan depan, tetapi mahu pentadbiran Najib mengkaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat.
Di sebalik kenyataan demi kenyataan mengenai kemungkinan pemotongan bakal dibuat oleh Putrajaya, beliau berkata, beliau sudah sekian lama menegaskan sekitar RM22 bilion subsidi gas yang diberi kepada IPP tidak memberi makna kepada rakyat, sebaliknya ia hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni rapat dengan pemerintah.
The Malaysian Insider difahamkan Kabinet dalam mesyuarat mingguannya esok akan menyentuh soal itu.
Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, merujuk kepada kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh beberapa menteri berkaitan, kemungkinan tarif elektrik dijangka naik bulan depan.
Anwar berkata, isu kenaikan tarif elektrik negara ini berkait rapat dengan perjanjian berat sebelah dipaksa ke atas TNB untuk dimeterai bersama dengan IPP terutamanya dengan pengeluar tenaga swasta generasi pertama.
Sumber : The Malaysian Insider
0 ulasan:
Catat Ulasan